Saturday, August 31, 2013

Petai Oh Petai




Makan, makan dan makan. Tak pernah jemu makan setiap hari mahupun setiap saat wakakaka!

Cerita pasal makan ni teringat pulak kat adik bongsuku. Dia ni memang manja sangat dengan mak. Anak kesayangan mak la katakan. Adik aku sorang sangat sweet dengan kita orang. Setiap tahun kita orang mesti tertunggu-tunggu kepulangannya. Nak celebrate raya sekali. Wahh seronok sangat-sangat. Walaupun jauh, kita orang sentiasa berhubung. Dunia dah canggih. Semua ada dihujung jari. Kita orang selalu berhubung melalui Whatsapp, Line dan Wechat.

Adik : Tadi kan kak saya makan petai bah sedap ohh..

Aku : Uiina memanglah sedap. petai bah tu. Kak pun mau makan tapi bah mahal di sini Brunei ni.

Adik : Oyaka? Kakak mau tau?

Aku : Apa dia dik?

Adik : Sekali tu kan kak, saya kasi belahlah tu petai mau kasi masuk dalam Tupperware konon. Sekali tu aduiii kakak tau apa yang saya jumpa?

Aku : Ulat?

Adik : Aikk macam mana kakak tau yang saya jumpa ulat?

Aku : Memang pun ada ulat dalam petai tu. Sebelum makan petai, mesti mau kasi belah dua dulu tu petai. Gerenti ada ulat yang bertapa dalam tu.

Adik : Kak, montel-montel lagi ulat yang saya jumpa tu kak!! Eeeee mesti ada yang saya termakan tadi tu kan?
Aku : Iya dik mesti ada ulat adik termakan tadi. Mesti comel-comel dan gemuk-gemuk ulat tu hahahhaha!

Adik : Eeeww.. Bah geli saya kak! Dengan penuh perasaan lagi tu saya kunyah tu petai dengan nasi tadi. Yaaakkk!!
Aku : Hhahahha!! Mesti rasa dia lemak manis kan dik? Tidak payah lagi tambah garam,ada rasa masin-masin tu sikit wakakakkawkwkw!!

Adik : Huarggghhhhhhhhhh *nangis*

HHAHAHHAHA!! Rindu pulak dengan adik manja ni :)


Hantu Ker Malaikat?



Kisah ni adalah pengalaman aku sendiri di tahun 2002. Aku memang raja penakut. Kalau nak ke tandas pun minta kakak temankan. Biasalah tandas kampung, hampir-hampir dengan hutan. Tepi hutan pulak kawasan perkuburan. Mana tak seramnya. Kalau pergi tandas sorang-sorang tak pasal-pasal pulak ada orang pengsan kat dalam tandas.

Zaman persekolahan dulu aku tinggal asrama penuh. Majoriti pelajar-pelajar dari kampung aku memang akan tinggal kat asrama kerana jarak sekolah dengan kampung aku kira-kira 500km. Mana larat nak ulang alik. Tambang bas pulak mahal. Oleh kerana tak menyusahkan ayah aku pun dengan rela terpaksa tinggal kat asrama huhuuu.

Kat asrama pelajar diwajibkan turun ke dewan untuk mengulangkaji pelajaran setiap hari pada jam 7 hingga 10 malam. Kebiasaannya aku dengan kawan-kawan sekampung akan duduk satu meja. Pada satu malam tu tiba-tiba aku rasa tak sedap hati. Namun aku tak hiraukan perasaan berdebar tu. Aku terus mengulangkaji subjek matematik.

Tapi..

Semakin aku melawan perasaan tu semakin kuat debaran yang aku rasakan. Aku kuatkan hati. Rasa sejuk yang amat sangat dihujung jari kakiku dan secara perlahan-lahan rasa sejuk itu naik ke atas sehingga meresapi di seluruh anggota badanku.

Seperti disampuk aku tiba-tiba meraung dan menangis. Hilang kawalan. Kemudian aku dibawa ke klinik berdekatan. Selang beberapa minit kemudian aku sedarkan diri dan doktor mengesahkan aku tidak mengalami apa-apa penyakit. Aku dinasihatkan untuk berehat pada malam itu. Kemudian aku dihantar oleh guru dan pelajar lain kedalam bilik asrama.

Didalam bilik tanpa ditemani sesiapa aku melelapkan mata. Tiba-tiba aku terasa dadaku ditindih oleh 'sesuatu'. Aku kaku tak boleh bergerak. Ingin menjerit tapi suara tersekat. Hanya mata yang dapat terbuka tapi berat. Dalam usaha untuk membuka mata seluasnya, kelihatan satu wajah yang memandangku dari katil atas. Wajah hitam itu merenung tajam kearahku. Mungkin itulah 'benda' yang memasuki tubuhku sebentar tadi. Terasa bagai nak terputus nyawa ini.

Tiga minggu kemudian, sekali lagi aku diuji. Mungkin kejadian seumpama itu sering kali terjadi dikalangan pelajar berasrama penuh sebelum ni. Malam itu semua pelajar tingkatan 3 berkumpul disebuah bilik untuk upacara keagamaan. Kami membuat satu bulatan dan berbincang. Setengah jam kemudian aku terasa seperti ada angin sejuk yang melintasi dibelakangku.

Bilik menjadi riuh rendah. Bertubi-tubi pertanyaan dan persoalan diajukan padaku. Walhal aku langsung tidak mengetahui apa yang terjadi pada diriku. Aku menjadi bingung. Kawanku memberitahu aku menyembah almari kabinet yang berada di sudut bilik itu sambil bertutur dalam bahasa asing. Bahasa korea mungkin? Wakakakaka!

Hmmm sampai ke hari ini aku tidak tahu apa sebenarnya telah terjadi pada diriku malam itu.

Sungguh misteri.


Friday, August 30, 2013

Jom Ke Brunei



Woww.. Itulah ayat pertama yang keluar mulut, ketika aku baru menjejak kaki ke bumi Brunei atau Negara Brunei Darrussalam, Negara Islam Beraja. Bumi Brunei sangat hijau dan masih banyak hutan yang terjaga dan belum diterokai.

Mula-mula menetap kat Brunei, terasa kekok nak beli barang keperluan sebab kat sini menggunakan BND$ (Brunei Dollar). Rasa terpegun melihat wang kertas dan syiling Brunei. Terasa sayang nak gunakan pun ada juga hehe

Daya tarikan kat Brunei ni memang sangat kuat. Kebanyakkan pelancong adalah terdiri daripada orang barat, Korea dan Jepun.

Pendidikan disini juga digalakkan dari seawal usia anak 3 tahun dan kebanyakkan tenaga pengajar di sini juga adalah terdiri daripada orang barat dan Philipines. Ini kerana sekolah-sekolah swasta banyak menggunakan bahasa Inggeris.



Disini banyak juga tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Kalau rasa-rasa nak naik bot tu bolehlah datang ke Kampung Air, sambil-sambil tu melihat pemandangan kat Kampung Air yang cantik. Kenapa Kampung Air? Sebab perkampungan tu betul-betul terletak didalam air. Pengangkutan juga hanya menggunakan bot.

Wahh seronok bukan?

Banyak makanan yang namanya kedengaran pelik. Pelik tapi sedap hehe. Contohnya Nasi Katok BND$1, Hati Buya BND$1 dan banyak lagii.






Nampak tu? Sedap kan?

Makanan kat Brunei ni memang sangat murah dan senang didapati kat mana-mana. Contohnya seperti set buffet ni hanya BND$6 untuk dewasa dan BND$ 4 untuk kanak-kanak. Gerenti puas hati haha.

Okaylah kalau korang nak tahu lebih banyak dan terperinci tentang Brunei lawatilah negara jiran kita ni. Lagipun tak salah untuk berkunjung ketempat-tempat yang belum pernah kita lihat ♥♡ Kadar tambang flight ke Brunei pun agak murah mungkin disebabkan faktor lokasi yang berjiran dengan negara kita Malaysia. Pilihan penerbangan pun dah banyak dah seperti Mas, Air Asia, FireFlyz dan Malindp. Ha tunggu apa lagi? Tempahlah tiket anda SEKARANG!! :P


Thursday, August 29, 2013

Bukan Aku Yang Berubah..



Setelah sekian lama kita terpisah, baru kini ku menyedari bahawa cinta ku terhadap mu masih lagi bertaktha dihati kecil ku... Entah mengapa dirimu juga yang kucintai... Sedangkan hati kecil ku sering kali kau sakiti dengan kata-kata kesat, dan cemuhan yang tidak sepatutnya aku dengar.

Apa istimewanya tentang dirimu? Aku juga tidak tahu, yang pastinya pada insan lain juga ada.. Namun kedegilan ini sering membuat aku terluka, kerana sering kali merindukan dirimu.. Apakah percintaan jarak jauh ini yang membuat dirimu berubah?? Ataupun itu cuma satu alasan,agar mudah untuk mu berpaling dari ku?

Sungguh aku terluka dengan sikap mu, yang terlalu mudah untuk menyerah hanya kerana dikejauhan ini, sedangkan aku masih lagi setia menanti cinta dan mengharapkan kesetiaan mu kekal untuk ku.. Namun belum pun sempat aku mengorak langkah seterusnya kau sudah berpaling dariku.. Begitu mudah untuk mencintai dan begitu mudah juga dirimu melupakan ku.. Apakah nilai cinta itu tidak lagi bermakna buat mu??

Atau mungkin aku yang punya kekurangan untuk kau cintai.. Lebih perit lagi, kini kau telah membina mahligai impian yg kita impikan bersama dulu, bersama dia yang kau cintai..

Hancur hati ini hanya tuhan yang tahu,cintaku tidak kau hargai, kasih ku kau abaikan, kesetiaan ku kau persiakan.. Namun aku pasrah dan redha dengan ketentuan illahi, kenyataan itu memang lebih pahit dan
sukar untuk ku terima.
Namun dalam keterpaksaan aku tetap menerima,siapa aku kini dan siapa dirimu.. segalanya telah berubah, cuma cinta ini masih masih milikmu.. Dan biarlah aku membawa jauh diri ini dari pandangan mu, agar lebih mudah untukku melupakan segalanya tentang dirimu.

Ketentuan ilahi itu merupakan hadiah terindah buat kita, walaupun sering kali kita beranggapan dia adalah terbaik untuk kita, namun Allah lebih mengathui siapa yang lebih baik dan setia untuk kita. Dan ada kalanya ianya satu ujian untuk kita lebih tabah menghadapi perjalanan seterusnya.

Bubur Lebih Pekat Dan Menjimatkan


Haii, pagi ni ivy nak kongsikan resepi bubur Knorr yang pekat dan lebih jimat untuk anak anda.. Agar si manja anda lebih puas dan merasa kenyang ketika menikmati makanannya..

Cara-cara membuatnya, ikuti langkah-lagkah mudah dibawah.

1) Didihkan 700ml air, kemudian masukkan 1 paket bubur segera knorr diikuti rempah nya. sementara itu, kisar sedikit nasi yang sudah dimasak dan tambah sedikit air agar nasi dapat dikisar dengan sempurna.kisar nasi sehingga halus.

2) Masukkan nasi yang dikisar tadi kedalam periuk bubur Knorr segera tadi dan kacau sehingga sebati, biarkan seketika dan mendidih.

Bubur akan menjadi lebih pekat dan banyak dan dapat dihidangkan untuk 2-3 kali hidangan. Selamat mencuba.. Pastikan anak anda tidur dengan perut yang kenyang agar anak anda membesar dengan baik ;)

Setiaku Hanya Untuk Mu..




Bila terserempak Adam berpimpinan tangan dengan gadis lain dipusat membeli-belah, dialah wanita yang paling kecewa sekali.Dia tidak menyangka Adam sanggup curang dibelakangnya, tunangan yang diikat dengan seribu janji yang cukup lunak. Cincin dijari manis yang bersarung di hari pertunangan tidak pernah sekalipun ditanggalnya, simbolik kepada setianya yang tidak goyah terhadap Adam. Air mata tidak berhenti mengalir dipipi bila mengenangkan kecurangan Adam. Mungkinkah itu kali pertama yang berlaku dihadapan matanya sedangkan sudah berkali-kali di luar pengetahuannya. Pelbagai andaian direkanya untuk menyejukan hati yang luluh terluka tapi hatinya masih tidak terpujuk. Dia dapat meramalkan erti genggaman erat jemari Adam itu. Akalnya masih mampu menterjemahkan ikatan kasih antara mereka. Bukan sekadar teman biasa atau tauladan tapi persis sepasang kekasih.

Putus?

Dia tidak sanggup. Cintanya padan Adam bukan alang-alang. Dia menerima pinangan Adam kerana dia terlalu menyayangi lelaki itu. Selama ini Adam banyak mengajar makna sebuah kehidupan. Adam mengajarnya erti rindu, erti kasih yang terlalu agung yang dikurniakan kepada manusia. Tanpa kasih, hidup manusia seperti bahtera yang hilang haluannya.

''Lelaki Nur Cepat muak. Cepat jemu dengan sesuatu yang serupa!''

Dia semakin gementar dengan ucapan Eyra itu. Adam yang dikenalinya tidak begitu. Adam setia dan sentiasa mengambil berat tentang dirinya.

"Nur, kau kesat air mata kau. Kita jumpa Adam. Aku dah bosan. Dah dua malam aku tak tidur kerana melayan kau menangis!" Eyra menarik tangan Nur.

"Kita nak ke mana?" soalnya hairan.

"Jumpa Adam. Kita selesaikan hal ini hari ini juga," ujar Eyra nekad.

"No!" Nur cuba menahan Eyra.

"Aku tak sanggup, Eyra!! Aku tidak akan kuat menerima kenyataan ini kalau benar-benar Adam berubah."

"Kau jangan jadi gila, Nur! Esok dengan hari ini sama saja. Kau tak boleh berlengah lagi. Semakin lama kau akan terseksa! Kau mesti tanya Adam sendiri!"

"Tanya apa?"

"Tentang gadis yang dia heret tu!"

"Aku tahu gadis tu kekasih dia!" Air mata Nur yang kering tadi mengalir lagi.

"Kalau bukan?"

"Ya!"

Terlalu sukar rasanya untuk dia menyebut-nya apalagi menerima kenyataan ini.Adam tidak punya adik perempuan.Dia hanya mempunyai seorang abang. Sepupu?Adam tidak akan memimpin sepupunya seerat itu.

Dengan bertemankan Eyra, Nur akhirnya bersua mata dengan Adam. Mereka bertemu disebuah restoran. Adam tidak boleh lari lagi. Mereka perlu berbincang secara rasional. Dia cuba menguatkan dirinya. Jadi perempuan tabah dan pasrah.

Adam mengaku dia sedang bercinta dengan Nadira. Di depan Adam juga, dia menangis seperti anak kecil walaupun dipujuk oleh Eyra supaya menahan air mata dihadapan orang ramai yang ada disitu.

Sup sayur panas di hadapan mereka bertambah sejuk dek air matanya. Keteguhan yang cuba dibangunkan di dalam diri kembali roboh. Dunianya terasa terbelah dua. Dia tidak percaya Adam akan berubah. Kekuatannya tertanggal. Semangatnya melayang. Apa lagi yang dia ada di dunia ini? Cintanya hilang dalam seribu cinta dengan Adam. Dengan segala rayuan yang bisa mencair mentari tapi bila janji mereka termeterai di jari manisnya, Adam mungkir. Mengkhianati semuanya dengan sekelip mata. Dalam ribuan mimpi dan seribu angannya, Adam tidak akan berubah. Mereka akan sama-sama menanti hari persandingan dan akan menempuh gerbang perkahwinan yang sangat indah dengan beribu bahagia memagari hidup mereka.

Namun kini semuanya tinggal impian yang telah musnah. Kerana Adam telah mengkhianati cinta nya yang tulus. Kerana terlalu sayangkan Adam, dia tetap memakai cincin pertunangan mereka. Dia tetap menyayangi walaupun seribu luka telah dicalarkan dipermukaan hati. Dia tetap tidak berubah walaupun mendapat berita Adam ditangkap basah. Rasanya, dialah kekasih merangkap tunangan yang paling setia. Setianya mungkin melebihi setia cinta Juliet terhadap Romeo..

Biarlah luka ini kubawa bersama kesetiaan cintaku terhadap Adam, dan biarlah impian cinta kita terus terkubur bersama jasad ku. 

Sekian.

Wednesday, August 28, 2013

Makhluk Laut Aneh Berjaya Dirakam

Seorang penyelam telah berjaya menangkap imej makhluk laut yg sangat aneh. Makhluk ini dikenali sebagai Spinosum Pyrostremma atau Pyrosome. Ia amat jarang berlaku dan ia telah diberi gelaran Unicorn Laut.

Nampak scary kan?

Haiwan pelik ini juga boleh membesar sehingga 30 meter panjang yang bersamaan dengan 2 buah bas 2 tingakat. Filturnya berlubang, lutsinar, badan silinder terdiri daripada beribu-ribu klon kecil yang dipanggil zooids, yang menarik air melalui  tiub yang memakan plankton sebelum menolak air yang ditapis kembali keluar.

Ternyata ciptaan Allah itu sangat luar biasa dan tidak terfikir pun oleh pancaindra kita. Hmm takut la nak mandi laut lepas ni hihihihhi.


Friday, August 23, 2013

Vera Ivy



Helloo selamat pagi semua. Saya baru lagi dalam dunia blog ni. Nama saya Vera Ivy. Korang boleh panggil saya Ivy :) Sabahan tapi menetap dekat Brunei Darul Salam :D


Ok la korang Ivy nak breakfast dulu ye. Hari ni Ivy breakfast kuih cakoi dan Nescafe 3 in 1 uhhhh yummehh. Korang breakfast apa? Kuih cakoi versi Sabah ni Ivy buat sendiri tau. Nanti la Ivy kongsi kat korang. Simple aje resipinya hehe.